Pembelajaran rangkaian komputer memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap pelbagai jenis protokol yang digunakan untuk menghubungkan pelbagai peranti dalam rangkaian. Salah satu protokol yang amat penting dalam sistem rangkaian komputer adalah Address Resolution Protocol (ARP). ARP digunakan untuk memetakan alamat IP (Internet Protocol) kepada alamat MAC (Media Access Control) bagi membolehkan komunikasi antara peranti dalam rangkaian tempatan (LAN). Walau bagaimanapun, kefahaman terhadap fungsi ARP akan menjadi sukar jika ianya hanya dibincangkan secara teori tanpa penerapan pembelajaran secara praktikal. Justeru itu, simulator Filius telah telah digunakan dalam pelaksanaan pembelajaran praktikal bagi topik ARP kepada pelajar program pengajian Diploma Teknologi Maklumat yang mengambil kursus DFC20143: Introduction to Network. Bagi memastikan simulator Filius dapat digunakan secara meluas di masa akan datang kajian impak dan keberkesanannya telah dilaksanakan di institusi. Kajian yang dijalankan adalah berbentuk deskriptif untuk mengenalpasti impak dan keberkesanannya terhadap peningkatan prestasi akademik pelajar. Sampel kajian yang dijalankan terdiri dari 25 orang pelajar semester dua, program Diploma Teknologi Maklumat yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan kawalan melalui pembelajaran tradisional dan kumpulan eksperimen melalui pembelajaran menggunakan simulator Filius. Instrumen yang digunakan adalah berbentuk borang soal selidik untuk mengenlpasti impak penggunaan simulator Filius dalam pembelajaran dan soalan ujian praktikal, bagi menilai keberkesanan penggunaan simulator Filius. Hasil kajian menunjukkan terdapat sembilan impak positif yang dikenalpasti dari aspek kefahaman, minat dan motivasi pelajar dan ianya juga dapat meningkatkan pencapaian akademik melalui ujian praktikal yang dilaksanakan. Walaupun penggunaan Simulator Filius menunjukkan impak yang signifikan namum kajian yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan merentasi pelbagai topik dan kursus yang diambil oleh pelajar.