Tahap Penguasaan Konsep Darab dan Kemahiran Operasi Bahagi Murid Sekolah Rendah
List of Authors
  • Mohd Izzuddin Baknan, Roslinda Rosli

Keyword
  • penguasaan konsep darab, kemahiran operasi bahagi, matematik sekolah rendah, kajian kuantitatif, korelasi

Abstract
  • Dalam konteks pembelajaran matematik sekolah rendah, penguasaan operasi asas khususnya darab dan bahagi memainkan peranan penting sebagai asas kepada penguasaan konsep dan kemahiran matematik yang lebih kompleks. Namun, kajian terdahulu menunjukkan bahawa ramai murid masih menghadapi kesukaran dalam menguasai kedua-dua operasi ini secara konseptual. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menilai tahap penguasaan konsep darab dan kemahiran operasi bahagi dalam kalangan murid sekolah rendah serta meneliti hubungan antara kedua-dua pemboleh ubah tersebut. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan dengan pendekatan kuantitatif. Sampel kajian terdiri daripada 60 orang murid tahun lima yang dipilih secara persampelan bertujuan di sebuah sekolah rendah harian kerajaan di Malaysia. Data kajian dikumpulkan menggunakan ujian bertulis dan borang soal selidik dan dianalisis menggunakan statistik deskriptif serta ujian korelasi Pearson melalui perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 27. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap penguasaan konsep darab dan kemahiran operasi bahagi murid berada pada tahap sederhana dengan kemahiran operasi bahagi mencatatkan tahap penguasaan yang lebih rendah berbanding konsep darab. Selain itu, hasil analisis korelasi menunjukkan terdapat hubungan positif yang signifikan pada tahap sederhana-kuat antara penguasaan konsep darab dan kemahiran operasi bahagi. Dapatan ini mengesahkan bahawa penguasaan konsep darab memainkan peranan penting sebagai asas kepada penguasaan operasi bahagi. Secara keseluruhannya, kajian ini menekankan keperluan kepada pendekatan pengajaran matematik yang memberi penekanan kepada kefahaman konsep dan pengajaran bersepadu antara operasi darab dan bahagi bagi meningkatkan penguasaan matematik murid sekolah rendah.

Reference
  • No References Recorded