Makanan dan minuman adalah unsur penting dalam sesebuah budaya. Akan tetapi unsur penting ini juga boleh mengundang pelbagai kontroversi jika diterjemahkan dengan pemahaman yang salah atau kurang tepat. Justeru itu, kertas kerja ini bertujuan menyenaraikan perkataan budaya berkaitan makanan dan minuman dan mengenal pasti kaedah terjemahan yang digunakan penterjemah bagi menangani masalah terjemahan perkataan budaya berkaitan makanan dan minuman. Kajian ini hanya membincangkan perkataan budaya berkaitan makanan dan minuman yang terdapat dalam teks Bijak Si Katak Bijak karya Sasterawan Negara, Siti Zainon Ismail yang telah diterjemahkan ke bahasa Jepun. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan mengaplikasikan kaedah analisis kandungan. Sebanyak 28 data dikenal pasti dan dianalisis oleh pengkaji. Hasil kajian menunjukkan penterjemah cenderung menggunakan kaedah terjemahan penggantian kata dalam bahasa sasaran secara meminjam dengan memberikan transliterasi mengikut ejaan bahasa sasaran dan meminjam dengan memberikan padanan yang terhampir dalam bahasa sasaran. Walau bagaimanapun, kaedah terjemahan ini telah menimbulkan masalah kerana terdapat padanan yang diberikan kurang bersesuaian. Dapatan kajian ini dapat memberikan kefahaman baru tentang masalah terjemahan yang berlaku dalam terjemahan bahasa Melayu ke bahasa Jepun dan membantu penterjemah secara amnya supaya dapat mengurangkan kesilapan dalam proses terjemahan.