Peranan yang dimainkan oleh seseorang pengetua di sekolah adalah sangat penting terutama dalam menentukan tahap kecemerlangan atau kejayaan pelajar di sesebuah sekolah di bawah pimpinannya. Hasrat dan visi nasional pendidikan yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia juga menuntut tanggungjawab yang besar di bahu setiap pengetua kerana mereka perlu memastikan sekolah yang diterajui bergerak seiring dengan hasrat dan visi tersebut. Oleh itu, tujuan kajian ini bagi mengenal pasti apakah amalan terbaik yang dipraktikkan oleh dua orang pengetua cemerlang di negeri Perlis. Kajian kualitatif ini menggunakan persampelan bertujuan yang mana data diperolehi dengan menggunakan teknik temu bual separa berstruktur. Temu bual jenis ini digunakan kerana lebih fleksibel dan membolehkan responden menyatakan apa yang mereka fikirkan kepada pengkaji (Merriem, 2001). Selain itu, temu bual jenis ini juga membolehkan pengkaji menambah soalan untuk mendapatkan maklumat yang lebih dan memastikan bahawa soalan yang ditanya sesuai dengan tahap pemahaman responden (Azilah Kassim & Hisham Dzakaria, 2006). Sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Miles dan Huberman (1994) dan Merriem (1998), kajian ini menggunakan pendekatan analisis kandungan untuk menganalisis hasil temu bual tersebut. Kajian ini telah menemukan enam amalan terbaik yang diterapkan oleh pengetua, iaitu mengenal pasti Standard Pencapaian Minima, mewujudkan Slogan, mengamalkan penurunan kuasa, mengadakan hubungan dengan Pihak Luar, mengadakan program peningkatan akademik, melaksanakan Sendiri LDP dan Bekerja Secara Berpasukan, Kajian ini juga telah menunjukkan bahawa kedua-dua pengetua cemerlang yang di kaji telah melaksanakan amalan komunikasi berkesan secara lisan, bertulis, gabungan lisan dan bertulis, serta menggunakan khidmat orang tengah bagi memastikan guru melaksanakan tugas yang diamanahkan. Dapatan ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada semua pengetua di Malaysia dalam mengurus dan mentadbir sekolah dengan cemerlang khususnya dalam melahirkan generasi pemimpin dan warga sekolah yang berkualiti.