Kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar semester akhir Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS). Faktor-faktor yang dikenalpasti ialah faktor minat pelajar, sikap pelajar dan kaedah pengajaran dan pembelajaran pensyarah. Jumlah responden yang terlibat ialah seramai 82 orang daripada Program Kewangan dan Perbankan (DKB) dan Program Pengurusan Pelancongan (DUP). Instrumen kajian yang digunakan adalah melalui soal selidik. Analisis data dibuat menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) 23 untuk mendapatkan kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Nilai kebolehpercayaan item ialah 0.741 yang menunjukkan kebolehpercayaan soalan yang boleh diterima. Hasil kajian menunjukkan faktor daripada pengajaran dan pembelajaran pensyarah merupakan faktor yang paling tinggi iaitu min = 4.44 diikuti faktor minat pelajar (min = 4.23) dan faktor sikap pelajar (min = 4.20). Justeru, melalui kajian ini kesemua faktor menunjukkan hubungan yang signifikan dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Namun, tindakan penambahbaikan perlu dilakukan demi pencapaian akademik yang lebih cemerlang.