Pemimpin yang unggul adalah merupakan pemimpin yang dijadikan contoh oleh segenap lapisan masyarakat bagi mendapatkan hasil maksimum terhadap sesuatu yang ingin dikecapi. Pendidikan merupakan perkara yang sangat penting kerana ianya adalah merupakan panduan hidup seseorang ke arah yang lebih baik, bermutu serta berkualiti. Bagi menghasilkan pelajar yang berketrampilan adalah amat perlu bagi sesebuah sekolah tidak kira samaada sekolah rendah ataupun menengah dikendalikan ataupun dikelolakan oleh seorang pemimpin unggul yang boleh dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar untuk terus berjaya dan akhirnya berjasa kepada diri sendiri, keluarga dan Negara. Oleh yang demikian adalah amat penting bagi seseorang pemimpin terutamanya warga pendidik di sekolah rendah dan menengah mempunyai ciri-ciri unggul sebagai seorang Pengetua dan Guru Besar kerana kedua jawatan ini adalah merupakan jawatan yang tertinggi di dalam bidang pendidikan dan merupakan contoh kepada guru-guru dan pelajar-pelajar. Sekolah Kluster dan juga sekolah Bestari adalah merupakan sekolah-sekolah yang dipilih oleh kerajaan kerana mencatatkan peratusan yang tinggi di dalam bidang pendidikan dan ianya di bawah pentadbiran Pengetua Guru Besar yang mempunyai ciri-ciri yang unggul. Ciri-ciri Pengetua Guru Besar unggul adalah sangat penting kerana ianya mampu melahirkan guru serta pelajar yang cemerlang, terbilang serta berdisiplin di dalam melahirkan serta memartabatkan dunia pendidikan di alaf baru. Kertas konsep ini akan membicarakan mengenai ciri-ciri unggul yang perlu ada pada Pengetua Guru Besar bagi melahirkan dunia pendidikan yang terbilang di Malaysia menjelang 2020 setanding dengan negara-negara maju yang lain. Secara keseluruhannya, tujuan dan objektif kajian ini adalah untuk menyatakan bahawa pemimpin yang unggul dapat melahirkan sekolah yang unggul dan akhirnya meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia samaada di Sekolah Rendah mahupun Sekolah Menengah.