Transformasi Digital Pendidikan: Tinjauan Bibliometrik Era Kontemporari
List of Authors
Maznah Salleh, Mohd Zahuri Khairani, Yakup Mohd Rafee
Keyword
pendidikan seni, pembelajaran mudah alih, teknologi digital dan kolaborasi
Abstract
Kajian ini meneroka pola penerbitan, taburan institusi, kata kunci utama, kolaborasi antara negara, dan rujukan jurnal dalam bidang pendidikan seni serta pembelajaran mudah alih sepanjang tempoh 2020 hingga 2025. Data yang diperoleh daripada pangkalan data Scopus telah dianalisis menggunakan perisian VOSviewer untuk memahami pola penyelidikan dan hubungan antara tema-tema utama yang muncul. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam penerbitan artikel berkaitan pendidikan digital, terutamanya semasa pandemik COVID-19, yang mempercepatkan peralihan kepada pembelajaran berasaskan teknologi. Selain itu, institusi seperti King Saud University dan Universiti Teknologi Malaysia dikenalpasti sebagai penyumbang utama dalam bidang ini, manakala China tampil sebagai pemimpin global dengan hubungan kolaboratif erat bersama Malaysia, Pakistan, dan Taiwan. Analisis kata kunci pula menyerlahkan tumpuan terhadap topik seperti e-pembelajaran, pembelajaran mudah alih, dan kelestarian, di samping potensi penggunaan teknologi seperti realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR) dalam memperkayakan pendidikan seni. Kajian ini bukan sahaja menyediakan gambaran menyeluruh mengenai dimensi penyelidikan semasa, tetapi juga menekankan keperluan untuk strategi penyelidikan yang mampan serta kolaborasi antarabangsa yang lebih kukuh dalam era pendidikan global yang semakin mencabar.