Kumpulan cerpen Melamar Rindu mengumpulkan 18 buah cerpen yang jelas berjaya memaparkan pelbagai persoalan seperti pertemuan dan perpisahan, kasih sayang, kerinduan, pembangunan, pertentangan di antara dua generasi dan perjuangan mempertahankan warisan bangsa. Kumpulan cerpen ini turut memperlihatkan keupayaan penulisnya Osman Ayob mencipta dan mengenengahkan isu-isu semasa daripada pengalaman hidup yang dirasai oleh individu dan masyarakat sehingga menjadi cerpen yang menarik dengan keindahan bahasanya dan pada masa yang sama dapat memperkaya minda pembacanya. Justeru, makalah ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis unsur dakwah menerusi kumpulan cerpen Melamar Rindu. Selanjutnya, kaedah analisis kandungan digunakan dengan fokus terhadap persoalan dakwah dalam kumpulan cerpen Melamar Rindu. Data dideskripsi dan dibincangkan berpandukan pendekatan dakwah yang terangkum dalam Teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Awang secara deskriptif iaitu dihuraikan secara terperinci sesuai dengan ruang lingkup kajian. Teori Pengkaedahan Melayu khususnya Pengkaedahan Keagamaan didapati teori yang paling sesuai untuk mengkaji karya ini ekoran daripada kecenderungan penulisnya merakamkan aspek-aspek kehidupan masyarakat sekeliling menerusi gaya hidup, agama dan kepercayaan dan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Hasil kajian mendapati tiga buah cerpen dalam kumpulan cerpen Melamar Rindu iaitu cerpen Gangguan, cerpen Doanya Termakbul dan cerpen Menimba Penawar sarat dengan unsur dakwah Islamiah dan nilai keagamaan yang berfokus kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Akhirnya, diharapkan hasil kajian ini dapat membantu penyelidik, pensyarah dan para pelajar memaknakan teks dalam usaha memartabatkan sastera Melayu.