Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap sokongan ibu bapa dalam membantu pembelajaran murid B40 di sekolah luar bandar di dua buah sekolah daerah Kapit, Sarawak. Secara khususnya, kajian ini memfokuskan tiga persoalan penting iaitu untuk mengkaji dari segi perbincangan di rumah, penjagaan di rumah dan komunikasi di rumah antara murid dengan ibu bapa. Sampel kajian ini terdiri daripada 50 orang murid golongan B40 yang bersekolah di sekolah rendah yang terletak di luar bandar Kapit. Instrumen soal selidik berbentuk dichotomous telah digunakan untuk mencapai objektif kajian ini. Data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan perisian Microsoft Excel 2019 bagi menganalisis jumlah dan peratus hasil kajian. Hasil kajian menunjukkan tahap sokongan ibu bapa dalam membantu pembelajaran murid B40 di sekolah luar bandar adalah pada tahap yang tinggi berdasarkan skor peratus setiap soalan yang dikemukakan. Kesimpulannya, sokongan ibu bapa amat penting dalam membantu pembelajaran murid B40 yang memberi focus kepada murid yang berada di luar bandar.