Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan satu wabak baharu yang melanda dunia bermula pada akhir tahun 2019 iaitu Coronavirus atau lebih dikenali sebagai COVID-19. Wabak ini semakin hari semakin membimbangkan kerana penyebaran wabak ini telah menyebabkan puluhan ribu manusia maut akibat penyakit ini. Oleh disebabkan wabak ini, sistem pendidikan di Malaysia telah menghentikan semua aktiviti bersemuka di dalam kelas dan menggantikan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian. Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini melibatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) seperti penggunaan telepon pintar dan komputer riba untuk menghadiri kelas dalam talian serta penggunaan internet. Kertas konsep ini adalah bertujuan untuk membincangkan pembelajaran norma baharu yang dilaksanakan oleh sistem pendidikan Malaysia agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Lanjutan itu, kertas konsep ini akan membincangkan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Selain daripada itu, pembelajaran norma baharu atau pembelajaran dalam talian ini tidak hanya memberi sisi pandang yang negatif, akan tetapi masih terdapat sisi pandang yang positif jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.