Perubahan politik merupakan sebuah proses yang sering wujud dalam praktik demokrasi di seluruh dunia. Pelbagai terminologi digunakan oleh aktor-aktor politik bagi memperlihatkan kesungguhan mereka dalam melaksanakan amalan demokrasi antaranya evolusi, reformasi dan transformasi. Di Malaysia, perubahan politik turut berlaku pada tahun 1973 apabila tercetusnya kerjasama politik Melayu-Islam khususnya melibatkan UMNO-BN dengan PAS. Kerjasama rasmi yang dijalinkan kedua-dua parti berkenaan menerusi penyertaan PAS dalam kerajaan pada ketika itu telah berjaya mengubah beberapa dasar kerajaan sedia ada. Perubahan dasar kerajaan ke arah meletakkan teras Melayu-Islam tersebut merupakan satu tindakan drastik yang tidak dijangka kerana gabungan BN yang menerajui negara pada asasnya memperjuangkan elemen kerjasama kaum dalam setiap aspek pentadbiran negara. Antara dasar-dasar kerajaan yang dipinda misalnya dalam aspek penyiaran, pendidikan dan autonomi dalam pentadbiran negeri berlainan parti. Perubahan dasar kerajaan berbentuk multietnik kepada berasaskan perkauman era kerjasama UMNO-PAS merupakan satu perbincangan yang menarik untuk diketengahkan dan dinilai dalam analisis ini. Oleh demikian, analisis menerusi perbincangan ini dapat diketengahkan sebagai salah satu sumber rujukan dan perbahasan akademik sedia ada.