Teknologi adalah penting dalam pendidikan, tetapi masih belum digunakan secara meluas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kesediaan guru Bahasa Tamil dalam penggunaan teknologi di SJKT. Kajian berbentuk tinjauan yang menggunakan kaedah kuantitatif ini dijalankan di daerah Klang, Selangor. Kajian ini melibatkan 145 orang guru sebagai sampel kajian daripada populasi 220 orang responden. Instrumen soal selidik digunakan untuk mengumpul data dari responden. Data yang dikumpul secara dalam talian melalui Google form telah dianalisis dengan menggunakan perisian The Statistical Packages for the Social Sciences (SPSS) versi 25.0 untuk menentukan tahap pengetahuan dan kesediaan guru berdasarkan min dan sisihan piawai. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap pengetahuan dan tahap kesediaan guru Bahasa Tamil di SJKT berada pada tahap yang tinggi. Dapatan ini, memberi implikasi bahawa perlunya usaha yang berterusan untuk menggalakkan amalan penggunaan teknologi dalam kalangan guru agar mereka mengamalkan strategi pengajaran yang lebih efisien dan dinamik. Kajian ini diharap dapat membantu guru, pihak pentadbiran dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menambah baik usaha atau program ke arah penyediaan guru yang berkemahiran, berpengetahuan serta bersedia untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasakan pedagogi guru abad ke-21. Pengkaji mencadangkan agar kajian ini dijalankan di semua sekolah pada masa hadapan untuk mengetahui persepsi guru terhadap penggunaan teknologi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) mengikut peredaran masa.