Kaedah Mnemonic Dalam Pengajaran Sejarah Murid Tingkatan Empat Daerah Padawan
List of Authors
Anuar Ahmad, Norasyiekin Rajali
Keyword
Mnemonic, Minat, Daya Ingatan, Kreatif, Interaktif
Abstract
Penguasaan fakta Sejarah adalah sangat penting dalam kalangan murid memandangkan Sejarah merupakan subjek wajib lulus peringkat SPM. Namun isu yang selalu timbul adalah murid sukar mengingati fakta dan menganggap subjek ini susah untuk dikuasai. Hal ini menyebabkan minat murid menurun. Dengan itu kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap minat dan daya ingatan murid dalam pengajaran Sejarah menerusi penggunaan kaedah mnemonic. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu soal selidik. Lokasi kajian dijalankan di SMK Agama di Daerah Padawan. Populasi terdiri daripada dua buah kelas Tingkatan Empat yang berbeza aliran dan berjumlah 54 orang murid. Manakala untuk sampel berjumlah 50 orang murid dipilih secara rawak bagi menjawab soal selidik. Kajian dijalankan setelah mendapat keizinan daripada pihak pengurusan sekolah. Instrumen kajian mengandungi tiga bahagian dan terdiri 22 item soalan. Perisian Statistical Package For Social Sciences (SPSS) versi 29.0 digunakan bagi menganalisis data deskriptif dan data inferensi menggunakan Korelasi Pearson. Hasil kajian mendapati dalam konstruk tahap minat mencatatkan skor min tertinggi sebanyak min M=4.50 dan sisihan piawai SP=.707. Manakala bagi konstruk daya ingatan murid mencatatkan nilai tertinggi min M=4.40 dan sisihan piawai SP=.670. Selain itu, hubungan di antara minat dan daya ingatan dalam mata pelajaran Sejarah menggunakan mnemonic dianalisis dan mencatatkan nilai korelasi r=.881**dengan signifikan (2-tailed) p<.001. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara minat dan tahap daya ingatan murid dalam pengajaran Sejarah menggunakan mnemonic. Secara rumusannya guru Sejarah perlulah menggunakan kaedah pengajaran yang kreatif serta interaktif bagi meningkatkan penguasaan murid dalam mata pelajaran ini.