Faktor-faktor penyumbang ketahanan diri penagih untuk pulih bebas dadah
List of Authors
Ezarina Zakaria , Fauziah Ibrahim , Mohd Norahim Mohamed Sani , Nor Jana Saim , Salina Nen
Keyword
Ketahanan diri bekas penagih, program pemulihan dadah, sokongan keluarga, sokongan majikan, sokongan masyarakat sekeliling
Abstract
Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan faktor-faktor yang menyumbang kepada ketahanan diri bekas penagih dadah yang telah tamat menjalani program pemulihan dadah di Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) dan kini sedang berada dalam program pengawasan yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).. Kajian dijalankan dengan menggunakan reka bentuk tinjauan keratan-lintang secara kuantitatif. Seramai 386 bekas penagih dadah di Semenanjung Malaysia telah dipilih sebagai responden kajian. Data kajian dianalisis dengan menggunakan ujian regresi pelbagai secara stepwise. Analisis kajian menunjukkan bahawa secara signifikan empat variabel peramal iaitu program pemulihan dadah (β=.33, t=7.27, p<.05), sokongan keluarga (β=.29, t=6.70, p<.05), sokongan majikan (β=.17, t=3.82, p<.05) dan sokongan masyarakat sekeliling (β=.10, t=2.24, p<.05) merupakan faktor yang mempengaruhi ketahanan diri bekas penagih untuk bebas daripada pengaruh dadah. Keempat-empat variabel peramal berkenaan menyumbang sebanyak 46.2% (r=.68) perubahan varians dalam ketahanan diri [F(4,381)=81.940, p<.05). Hasil kajian memberi implikasi positif ke arah pemantapan strategi ketahanan diri dalam kalangan bekas penagih oleh pihak yang berkepentingan dan seterusnya bagi tujuan penambahbaikan terhadap modul pemulihan dadah.