Dewasa ini, fokus terhadap perkembangan sosioemosi yang sihat diperingkat awal usia semakin diberi perhatian. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak usaha yang dijalankan bagi meningkatkan kompetensi guru bagi membolehkan mereka untuk melaksanakan pembelajaran sosioemosi. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap pengetahuan dan amalan guru pendidikan awal kanak-kanak dalam aspek pembelajaran sosioemosi. Rekabentuk kajian tinjauan menggunakan pendekatan kuantitatif telah digunakan bagi tujuan pengumpulan data. Soal selidik yang digunakan diadapatasi daripada kajian lepas. Dua orang pakar bidang telah dilantik bagi meneliti kesahan kandungan soal selidik yang diadaptasi. Kaedah persampelan rawak mudah telah digunakan dalam pemilihan sampel kajian dan 332 orang responden telah terlibat dengan kajian ini.Perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) telah digunakan bagi analisis data. Dapatan kajian dilaporkan berdasarkan nilai min, frekuensi dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan tahap pengetahuan guru mengenai perkembangan sosioemosi berada di tahap sederhana. Manakala amalan guru dalam implementasi pembelajaran sosioemosi adalah pada tahap lemah. Dapatan kajian dapat memberikan maklumat mengenai pengetahuan dan amalan sedia ada pembelajaran sosioemosi di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Secara tidak langsung, ia dapat digunakan dalam merangka program latihan dan sokongan untuk guru bagi meningkatkan kecekapan mereka dalam melaksanakan pembelajaran sosioemosi. Dapatan kajian ini menunjukkan guru pendidikan awal kanak-kanak masih memerlukan input mengenai perkembangan sosioemosi.