Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah tunjang kepada sistem pendidikan Malaysia. Ianya terhasil dari revolusi dan pembaharuan berterusan sistem pendidikan yang dijalankan di Malaysia semenjak dari zaman kolonialisme British sehingga sekarang. Dalam pelaksanaan FPK, pembangunan potensi para pelajar menjadi keutamaan dalam membangunkan modal insan yang pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, setiap aktiviti pendidikan perlu dipastikan untuk mempunyai unsur-unsur utama FPK iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Kertas konsep ini akan membincangkan apakah pembangunan insan dalam falsafah pendidikan, proses pembentukan falsafah pendidikan kebangsaan, cabaran-cabaran dalam membangunkan insan dan akhir sekali tentang implikasi FPK terhadap sistem pendidikan negara. Teknik kajian kepustakaan digunakan dalam kajian ini. Diharap esei ini akan memberikan pandangan yang mendalam tentang kepentingan FPK terhadap kemenjadian para pelajar serta mewujudkan warganegara Malaysia yang terbilang