Kompetensi adalah gabungan daripada tiga apek utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang perlu ada pada seseorang untuk melaksanakan tugasan dengan sempurna. Kajian tinjauan ini dijalankan adalah untuk meninjau tahap pengetahuan dan kemahiran guru dalam pengajaran dan pembelajaran memandangkan guru-guru ini terdiri daripada kelompok guru bukan opsyen. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif di mana kaedah tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik berskala Likert 4 mata sebagai instrumen kajian. Sampel kajian yang terlibat adalah seramai 66 orang yang dipilih secara persampelan rawak mudah dengan menggunakan Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie & Morgan. Data-data yang akan diperolehi akan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for The Social Sciences (SPSS) versi 25. Analisis deskriptif digunakan bagi mendapatkan nilai purata min, sisihan piawai, kekerapan dan peratusan untuk melihat demografi kajian dan melihat tahap kompetensi guru-guru bukan opsyen Pendidikan Prasekolah. Dapatan kajian menunjukkan kompetensi guru dari aspek pengetahuan (3.68) dan kemahiran (3.60) yang secara keseluruhuannya berada di tahap yang sederhana. Hasil analisis mendapati tahap pengetahuan dan kemahiran guru bukan opsyen perlu ditingkatkan. Diharapkan kajian ini dapat memberi input mengenai tahap kompetensi guru-guru bukan opsyen dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Prasekolah. Peningkatan terhadap pengetahuan dan kemahiran guru akan memberi impak yang positif terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh guru seterusnya dapat meningkatkan mutu pembelajaran murid di dalam kelas. Kesimpulannya, setiap guru perlu sentiasa berazam untuk membangunkan potensi diri dalam memastikan aspirasi pendikan negara dapat dicapai dengan jayanya.