Kebanyakan perpindahan dalam kalangan pelajar berpunca daripada kedua ibu bapa mereka. Kebergantungan hidup mereka terhadap ibu bapa pada usia ini adalah sangat tinggi. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor kesan pandemik Covid-19 terhadap perpindahan murid dari SJK(C) ke SK. Kajian dijalankan dengan berpandukan reka bentuk kajian kuantitatif berbentuk tinjauan. Responden bagi kajian terdiri daripada 80 orang ibu bapa kepada murid-murid yang terlibat dengan perpindahan dari SJKC ke SK dalam daerah Sibu. Data demografi responden telah dianalisis menggunakan perisian SPSS. Hasil mendapati bahawa kebanyakan responden terdiri daripada kaum Bumiputera, sebanyak 72.5%. Tambahan, 61.3% responden mempunyai tahap pengajian sehingga sekolah rendah sahaja dan bekerja sendiri. Nilai min yang melebihi 3.50 bagi item hubungan ibu bapa-anak menunjukkan tiada masalah yang serius dalam hubungan kekeluargaan responden. Manakala, nilai min bagi item persepsi ibu bapa terhadap SJKC mencatatkan nilai min kurang daripada 3.0 bagi konstruk pembelajaran anak. Bagi konstruk pengajaran guru pula nilai min dilihat melebihi 3.0 untuk majoriti item. Selain itu, nilai korelasi Pearson bagi hubungan antara ibu bapa-anak dan persepsi ibu bapa menunjukkan nilai -0.481, iaitu korelasi negatif yang tinggi bagi kedua-dua pemboleh ubah. Kesimpulannya, faktor perpindahan murid dalam era pandemik ini kebanyakannya berpunca daripada latar belakang keluarga masing-masing terutamanya taraf pendidikan ibu bapa.