Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan sekolah berprestasi tinggi mempunyai budaya kerja yang menekankan kepada prestasi dan kecemerlangan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti beban tugas guru di MRSM dan hubungannya dengan prestasi kerja guru. Kajian kuantitatif digunakan dalam kajian ini. Responden kajian ini terdiri daripada 76 orang guru. Kajian ini telah melihat tahap beban tugas guru yang dipengaruhi oleh tugas akademik dan bukan akademik. Data dianalisis menggunakkan statistik deskriptif dan inferensi. Bagi menjalankan kajian ini kaedah soal selidik yang menggunakan skala Likert 5 mata atau (1 = Sangat Tidak Setuju, 2 = Tidak Setuju, 3 = Kurang Bersetuju, 4 = Setuju dan 5 = Sangat Setuju) telah digunakan. Nilai kebolehpercayaan yang diperoleh ialah 0.77 yang telah dianalisis dengan menggunakan kaedah deskriptif dan juga inferensi. Data ini telah dianalisi melalui perisian "Statistical Package for Social Science" (SPSS) versi 22. Daripada analisis yang dijalankan, didapati tahap beban kerja pensyarah di MRSM yang paling tinggi adalah di bawah beban tugas bukan akademik iaitu memastikan pelajar untuk mematuhi peraturan di sekolah dengan nilai min 4.60. Manakala tahap prestasi kerja pensyarah di MRSM tinggi dengan nilai min 3.65. Analisis dapatan kajian ini menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara beban tugas guru dengan prestasi guru iaitu (r = 0.378, p = 0.000). Hasil kajian ini diharap dapat membantu pihak berkuasa Bahagian Pendidikan Latihan MARA (BPLM) dan pentadbir sekolah untuk membuat pertimbangan supaya ia boleh dijadikan sebagai garis panduan untuk merangka perancangan awal serta pengagihan tugas para guru secara adil dan saksama. Dari sudut guru pula, kajian ini dapat dijadikan sebagai garis panduan untuk menilai tahap beban tugas serta pengaruhnya terhadap prestasi mereka. Hal ini kerana ia akan mempengaruhi kerjaya sesorang guru terutamanya dari segi prestasi guru.