Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa asing kerap menghadapi cabaran dalam pelbagai situasi pembelajaran yang berlainan. Demi menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran, pengajar bahasa asing harus menjalankan kajian terhadap situasi pembelajaran bahasa. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti situasi pembelajaran bahasa Mandarin sebagai bahasa asing dalam kalangan pelajar universiti teknikal. Kajian ini menggunakan soal selidik sebagai instrumen untuk mengumpul data. Sampel kajian ini terdiri daripada 115 orang responden yang mengikuti kursus bahasa Mandarin 1 dan Mandarin 2 di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI). Hasil kajian mendapati majoriti responden memilih dan mendaftar kursus bahasa Mandarin kerana ia dapat meningkatkan daya saing dalam kerjaya pada masa hadapan. Majoriti responden ingin menguasai kemahiran bertutur. Majoriti responden berasa aksara Cina susah untuk dikuasai manakala berasa pinyin (sebutan) senang untuk dikuasai. Sementara itu, ramai responden menggunakan media sosial untuk belajar bahasa Mandarin. Kajian ini mendapati majoriti responden akan terus belajar bahasa Mandarin selepas tamat mengikuti kursus bahasa Mandarin. Dapatan kajian diharap dapat membantu pengajar bahasa Mandarin mengubahsuai atau menambahbaikan pendekatan pengajaran demi menyesuaikan dengan keadaan sebenar.