Motivasi merupakan satu dorongan yang berterusan dapat mempengaruhi tingkah laku seseorang individu untuk melaksanakan suatu aktiviti atau kegiatan yang didorong oleh sesuatu galakkan atau dorongan. Manakala motivasi ekstrinsik pula ialah satu motivasi yang menjuru kepada kebendaan, pengiktirafan, dorongan, pujian, rakan sebaya, wang ringgat dan lain-lain lagi. Kajian ini dijalankan untuk mengetahui kesan motivasi ekstrinsik kepada penglibatan murid dalam sukan bola keranjang dan dapat membuat perbandingan antara jantina dengan mengambil kira kehadiran mereka dalam kelab bola keranjang. Sampel dipilih secara rawak melibatkan lelaki dan perempuan dan bilangannya ialah 60 orang sampel yang terdiri daripada 30 sampel lelaki dan 30 sampel perempuan masing-masing daripada dua buah SJKC dalam daerah Gua Musang, Kelantan. Sampel menjawab soal selidik yang disediakan oleh penyelidik yang mengandungi 15 soalan. Kaedah berbentuk diskriptif, korelasi dan ujian ‘t’ digunakan dalam kajian ini menggunakan aplikasi SPSS. Dapatan kajian ini menunjukkan motivasi ekstrinsik berkaitan dengan persahabatan rakan-rakan mendapat dapatan yang paling tinggi. Ini dapat menunjukkan bahawa murid-murid melibatkan diri dalam sukan dengan adanya rakan-rakan yang mereka ingin ikut sekali. Ini juga akan memotivasikan murid-murid dan dapat menjadi tujuan mereka untuk menyertai sukan.