Kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling sukar diajarkan dan dikuasai oleh sesorang murid. Lebih-lebih lagi menulis karangan penuh yang boleh terbahagi kepada karangan berformat dan karangan yang tidak berformat. Oleh itu, kajian bertujuan membuat perbandingan kesesuaian soalan karangan format baharu, iaitu soalan karangan berbentuk bebas dan tidak dinyatakan kehendak atau format dan soalan karangan format lama khususnya untuk murid sekolah rendah. Kajian berbentuk kualitatif ini juga dijalankan untuk meneroka masalah yang dihadapi oleh murid dalam penulisan karangan format lama dan format baharu dari perspektif guru. Seramai 5 orang murid dari sebuah sekolah di daerah Tangkak dan 2 orang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu telah dipilih sebagai peserta kajian. Kajian ini menggunakan kaedah analisis dokumen dan temu bual untuk mendapatkan dapatan. Antara instrumen yang digunakan ialah ujian karangan, senarai semak analisis dokumen dan protokol temu bual.