Selat Melaka (SM) adalah salah sebuah daripada laluan maritime yang tersibuk di dunia kerana kepentingannya terhadap laluan perdagangan komersil dari serata dunia, walaubagaimanpun, Selat Melaka mempunyai masalah keselamatan dari segi ancaman jenayah rentas sempadan serta aktiviti pelanunan. Kajian ini akan menerangkan keutamaan serta cabaran negara Malaysia dan Indonesia di dalam meningkatkan tahap keselamatan SM bagi tahun 2016-2020. Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu: pertama, untuk mengenalpasti jenis-jenis ancaman yang wujud di SM, Kedua, untuk menganalisis keutamaan serta cabaran kerjasama maritim diantara kerajaan Malaysia dan Indonesia di kawasan SM, dan ketiga, untuk menyarankan potensi bagi mewujudkan kerjasama maritim yang baharu diantara negara Malaysia-Indonesia di SM. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif berdasarkan kepada sumber utama dan sumber sekunder. Sumber utama didapati dari kaedah temubual berstruktur melibatkan empat orang responden yang mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam keselamatan maritim di kawasan SM. Manakala, sumber sekunder bagi kajian ini diperolehi daripada sumber rujukan ilmiah seperti buku, tesis akademik, artikel jurnal, dan sumber rujukan daripada internet. Hasil dapatan kajian akan menerangkan secara khusus bentuk-bentuk kerjasama maritim diantara negara Malaysia dan Indonesia serta langkah-langkah yang diperlukan bagi menangani masalah keselamatan yang berlaku di dalam kawasan perairan SM di masa hadapan.