Google Classroom merupakan satu medium yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah satu pelantar M-pembelajaran untuk meningkatkan pembelajaran secara berterusan dalam kalangan murid-murid di Malaysia. Tujuan kajian adalah untuk mengkaji tahap pengetahuan dan tahap kesediaan guru-guru sekolah menengah di kawasan luar bandar serta mengetahui perbezaan tahap pengetahuan dan perbezaan tahap kesediaan guru di sekolah menengah luar bandar berdasarkan jantina terhadap pelantar Google Classroom dalam proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Metodologi kajian ini merupakan kajian tinjauan menggunakan pendekatan kuantitatif . Kajian ini melibatkan 262 orang guru daripada 644 orang populasi guru sekolah menengah di daerah Kudat . Data kajian telah dikutip menggunakan borang soal selidik yang diedarkan menggunakan Google Form. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa tahap pengetahuan guru-guru sekolah menengah luar bandar terhadap pelantar M-pembelajaran Google Classroom pada tahap rendah dan kesediaan guru-guru sekolah menengah luar bandar terhadap pelantar M-pembelajaran iaitu Google Classroom dalam proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) adalah pada tahap tinggi. Hasil kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan antara tahap pengetahuan dan tahap kesediaan guru lelaki dan guru perempuan terhadap pelantar M-pembelajaran iaitu Google Classroom dalam proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).