Kemahiran pemikiran komputasi penting dan menjadi keutamaan kepada hampir semua peluang pekerjaan pada masa hadapan. Pemikiran komputasi merupakan satu proses pemikiran yang disusun untuk merumus dan menyelesaikan masalah, yang mana penyelesaiannya akan diwakilkan dalam satu bentuk tertentu oleh alat pemprosesan maklumat. Namun ia masih baru dalam bidang pendidikan terutamanya di Malaysia dan masih ramai pendidik tidak menyedari akan kepentingannya. Kajian sistematik ini dijalankan bagi membuat tinjauan dan menganalisis secara kritikal dan sintesis mengenai kaedah-kaedah yang digunakan dalam menerapkan pemikiran komputasi guru Matematik dan pelaksanaan pemikiran komputasi yang digunakan guru dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Pangkalan data Scopus dan Web of Sciences (WoS) digunakan dalam pencarian artikel berkaitan dalam tempoh masa 6 tahun kebelakang bermula dari tahun 2016 sehingga 2021. Sebanyak 103 artikel ditemukan berdasarkan kata kunci yang ditentukan pengkaji dan 20 artikel telah dipilih sebagai sampel bagi kajian sistematik ini. Proses pemilihan artikel adalah berdasarkan proses carta alir PRISMA. Dapatan kajian menunjukkan pelbagai kaedah yang ditemukan dalam menerapkan pemikiran komputasi dalam Matematik; antaranya ialah bengkel, kursus berterusan, reka bentuk model pembelajaran, bimbingan pengajaran, bantuan pakar teknologi, penyedian bahan pengajaran dan aktiviti serta kesedaran guru. Pelaksanaan pemikiran komputasi dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik yang dikenal pasti dijalankan dalam kajian adalah dengan menggunakan sistem komputer (plugged), tanpa komputer (unplugged) dan gabungan kedua-duanya iaitu dengan sistem komputer (plugged) dan tanpa sistem komputer (unplugged).