Pelaksanaan pentaksiran berterusan di kolej vokasional telah melalui perubahan drastik semasa pandemik Covid-19. Perubahan kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah memberi kesan dan tekanan kepada guru di institusi ini dalam melaksanakan pentaksiran berterusan (PB) amali dengan berkesan. Dalam menambah baik pelaksanaan ini, kefahaman berkaitan cara pelaksanaan, cabaran dan kesediaan guru perlu diberi perhatian. Namun, kajian berkaitan aspek ini masih kurang dikaji. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan bagi mengenalpasti kaedah pelaksanaan pentaksiran berterusan amali secara PdPR, cabaran yang dihadapi oleh guru dan kesediaan guru dalam melaksanakan pentaksiran berterusan amali semasa PdPR. Kajian kes dijalankan di sebuah kolej vokasional di daerah Rembau, Negeri Sembilan dengan mengumpul data secara temubual terperinci terhadap enam orang guru di institusi ini. Data dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis tematik. Hasil kajian mendapati guru-guru telah melaksanakan pentaksiran berterusan amali dengan kaedah secara dalam talian atau dengan memberi tugasan. Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pentaksiran berterusan amali iaitu, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran seperti bahan kimia, peralatan khas dan makmal. Selain itu, guru merasakan pentaksiran yang dijalankan tidak adil dan tidak menilai kompetensi sebenar pelajar. Di samping itu, para guru berpendapat mereka tidak bersedia sepenuhnya untuk menjalankan pentaksiran berterusan amali secara PdPR. Oleh itu, dapatan kajian ini dapat dijadikan rujukan kepada kementerian, institusi dan guru dalam merangka pelaksanaan yang lebih berkesan pada masa akan datang.