Tahap literasi digital dan kesediaan guru saling berkait bagi menjayakan anjakan ke tujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025; memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk meneroka tahap literasi digital dan kesediaan guru prasekolah di Pahang Barat semasa pengajaran dalam talian di era pandemik. Seramai 127 sampel kajian yang terdiri daripada guru-guru prasekolah di Pahang Barat; daerah Bentong, Raub, Kuala Lipis dan Cameron Highlands telah disoal selidik secara persampelan rawak mudah. Kajian tinjauan berbentuk kuantitatif ini menggunakan soal selidik secara dalam talian iaitu aplikasi Google Forms. Instrumen yang digunakan adalah adaptasi daripada dua instrumen kajian lepas iaitu borang soal selidik Skala Literasi Digital dan Skala Kesediaan Guru Mengintegrasikan TMK. Data dan maklumat yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian komputer SPSS versi 26.0 untuk melihat statistik deskriptif dan korelasi pearson. Hasil daripada dapatan kajian mendapati bahawa tahap literasi digital dan tahap kesediaan guru prasekolah di Pahang Barat mengingtegrasikan TMK semasa pengajaran dalam talian di era pandemik ialah sederhana tinggi iaitu min 3.86 dan 3.91 masing-masing. Kajian ini juga mendapati terdapat satu hubungan positif yang sangat kuat dan signifikan, dimana nilai r-.0981, k<0.05 antara tahap literasi digital guru prasekolah dengan tahap kesediaan guru prasekolah di Pahang Barat mengintegtasikan TMK semasa pengajaran dalam talian di era pandemik.