Antara Ideologi dan Realiti: Analisis Tematik Pemuda Parti Amanah
List of Authors
Hamdan Mohd Salleh, Mokhtar Dahari Dawe, Ng Ming Yip, Rashidin Idris
Keyword
pemuda, Amanah, kualitatif, politik belia, perubahan
Abstract
Artikel ini meneliti peranan Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) di Kuala Selangor dalam konteks politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pelaksanaan Undi18. Perubahan landskap politik telah meletakkan golongan belia sebagai kumpulan pengundi strategik, sekali gus menuntut penyesuaian peranan dan strategi sayap pemuda parti politik. Menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kes, artikel ini menganalisis dokumen parti, laporan media, dan kajian akademik terdahulu bagi memahami bentuk penglibatan, strategi mobilisasi serta cabaran yang dihadapi oleh Pemuda AMANAH di peringkat kawasan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Pemuda AMANAH berperanan sebagai agen mobilisasi politik, pendidik politik belia dan penghubung antara parti dengan masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, keberkesanan peranan ini dipengaruhi oleh kekangan dalaman organisasi serta persaingan luaran dalam landskap politik gabungan. Artikel ini menyumbang kepada literatur politik belia dan politik Islam demokrat dengan menyediakan analisis berasaskan konteks tempatan yang masih kurang diterokai.