Dron atau dikenali sebagai teknologi pesawat tanpa pemandu telah menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia mudah dikendalikan. Ini disebabkan oleh teknologi dron yang menjadi semakin canggih dan telah dapat digunakan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang fotografi, perfileman pertanian, ketenteraan, pengawasan sempadan negara, operasi mencari dan menyelamat. Dalam bidang pendidikan, teknologi dron juga telah digunakan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dari peringkat pengajian sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti. Oleh itu, penggunaan dron sebagai alat bantu mengajar telah banyak membantu para pendidik di institut pendidikan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dengan menggunakan kaedah pengajaran yang menarik dan mudah difahami oleh pelajar. Terdapat pelbagai jenis dron yang boleh digunakan untuk pendidikan dijual di pasaran kini dengan harga yang mampu milik. Artikel ini akan menganilisis dapatan kajian lepas tentang keberkesanan aplikasi dron dalam pembelajaran teknologi kejuruteraan, matematik, fizik dan geografi.