Tahap Pengetahuan Guru Sejarah dalam Menerapkan Nilai Patriotisme ‘Berbangga sebagai Rakyat Malaysia’ di Sekolah Menengah
List of Authors
Aini Il-Yani Ibrahim, Anuar Ahmad
Keyword
Guru Sejarah, Patriotisme, Berbangga menjadi rakyat Malaysia
Abstract
Patriotisme merupakan nilai teras dalam pembentukan identiti nasional dan pemupukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kajian ini menumpukan perhatian terhadap tahap pengetahuan guru Sejarah dalam menerapkan nilai patriotisme, khususnya elemen berbangga sebagai rakyat Malaysia di sekolah menengah. Latar belakang kajian menunjukkan bahawa pengajaran Sejarah memainkan peranan penting dalam menyemai semangat cinta akan negara. Namun, keberkesanannya banyak bergantung pada penguasaan pengetahuan guru merangkumi aspek konsep patriotisme, kandungan kurikulum, pedagogi serta latihan profesional. Artikel ini menggunakan pendekatan konseptual dengan meneliti dan membincangkan sorotan literatur berkaitan kecekapan guru dan nilai-nilai patriotisme dari perspektif tempatan dan antarabangsa. Hasil analisis mendapati bahawa guru yang mempunyai pengetahuan menyeluruh terhadap enam elemen utama, iaitu menghormati raja dan pemimpin, menghargai jasa tokoh negara, berbangga dengan sejarah negara, menghormati lambang kebangsaan, menjaga maruah bangsa serta mengamalkan tradisi dan budayaberupaya menyampaikan pengajaran yang lebih bermakna dan kontekstual. Kajian ini mencadangkan agar program pembangunan profesional guru diperkukuh melalui modul latihan yang relevan dan penggunaan teknologi pendidikan secara strategik. Kesimpulannya, pengetahuan guru Sejarah yang komprehensif dan kontekstual menjadi tunjang utama dalam melahirkan generasi pelajar yang berjati diri nasional serta berbangga menjadi rakyat Malaysia.