Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian adalah trend pembelajaran yang terkini dalam era pandemik COVID-19 yang memberi cabaran kepada golongan guru untuk mengadaptasi norma pengajaran yang baharu ini. Oleh itu, kajian tinjauan ini telah dijalankan untuk mengkaji kemahiran teknologi dan kesediaan melaksanakan PdPc dalam talian semasa era pandemik dalam kalangan guru di sekolah rendah Tamil. Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan dengan pendekatan kuantitatif yang melibatkan seramai 205 orang guru daripada 400 populasi guru sekolah rendah Tamil di daerah Klang. Responden menjawab soal selidik dalam talian dengan menggunakan Google Forms bagi mendapatkan data yang diperlukan untuk kajian. Platform teknologi pembelajaran dalam talian yang dipilih ialah Google Classroom. Perisian Statiscal Package for Social Science (SPSS) versi 25 digunakan untuk menganalis data secara deskriptif iaitu untuk nilai min, sisihan piawai, peratus, dan frekuensi manakala analisis secara inferensi melalui ujian Anova adalah untuk menguji perbezaan dalam pemboleh ubah bersandar berdasarkan faktor demografi. Analisis deskriptif menunjukkan bahawa kemahiran teknologi dan kesediaan melaksanakan PdPc dalam talian semasa era pandemik dalam kalangan guru di sekolah rendah Tamil adalah tinggi. Manakala analisis inferensi menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam kemahiran teknologi dan kesediaan guru untuk melaksanakan PdPc dalam talian berdasarkan faktor pengalaman mengajar. Kesimpulannya, guru mahir dengan teknologi dan bersedia melaksanakan PdPc secara dalam talian sepanjang musim pandemik COVID-19, justeru aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih boleh dilaksanakan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan untuk pembelajaran.