Artikel ini bertujuan menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesejahteraan
kewangan pekerja berkahwin dalam sektor awam di Malaysia. Reka bentuk kuantitatif
menggunakan kaedah survei diaplikasikan dalam kajian ini. Sampel kajian terdiri daripada
pekerja berkahwin dalam sektor awam, iaitu fokus kepada pekerja yang mempunyai suami
atau isteri yang juga bekerja (keluarga dwi-pendapatan). Unit analisis adalah individu, sama
ada suami atau isteri. Sejumlah 415 responden terlibat dalam kajian ini. Analisis regresi
pelbagai digunakan bagi menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesejahteraan
kewangan responden. Hasil kajian menunjukkan umur, pendapatan bulanan, pemilikan
rumah, bilangan produk kewangan, sumbangan pendapatan dalam keluarga, tingkah laku
kewangan dan pembuatan keputusan kewangan suami mempunyai hubungan dengan tahap
kesejahteraan kewangan pekerja berkahwin dalam keluarga dwi-pendapatan.