Makna budaya organisasi islam: kajian ke atas pekerja Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
List of Authors
Abd Hair Awang , Azlina Abdullah , Novel Lyndon , Rosfazila Abd Rahman
Keyword
Sosiologi, antropologi, kajian budaya, budaya organisasi, organisasi islam, bank islam malaysia berhad (BIMB)
Abstract
Isu utama kajian ini ialah untuk memahami makna budaya organisasi Islam menurut
pandangan para pekerja Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Kajian dijalankan
menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melibatkan temu bual mendalam. Sejumlah sepuluh
informan iaitu lima informan dalam kalangan kumpulan pegawai dan lima informan lagi
dalam kalangan kumpulan pengurusan telah ditemubual dalam kajian ini. Data telah
dianalisis secara penyaringan data, pemaparan data dan membuat kesimpulan serta verifikasi.
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat lima kriteria asas dalam memahami makna budaya
organisasi menurut pandangan para pekerja BIMB iaitu falsafah, prinsip, operasi, produk dan
perkhidmatan di BIMB. Hasil kajian juga mendapati bahawa faktor-faktor seperti integriti
tinggi terhadap prinsip-prinsip syariah sebagai elemen Islamiah ke dalam aspek-aspek seperti
kepimpinan pengurusan, pembangunan kakitangan, penawaran produk perbankan Islam dan
khidmat pelanggan adalah penyumbang terbesar ke atas memaknai budaya organisasi Islam
di BIMB. Kesimpulannya, kajian memperlihatkan budaya organisasi Islam BIMB telah
menepati hampir kesemua kriteria asas budaya organisasi Islam. Implikasinya, terdapat
beberapa aspek penambahbaikan seperti aspek-aspek berhubung kepimpinan, pengembangan
dan inovasi produk dan perkhidmatan, penetapan penanda aras terhadap produk secara
konsisten dan menjadi pelopor dalam banyak perkara, penghantaran perkhidmatan dan aspek
penambahan cawangan yang masih perlu diberi perhatian demi kelangsungan budaya
organisasi Islam BIMB dalam mencapai matlamat perbankan berlandaskan syariah.