Kajian ini dilaksanakan untuk meneroka kesesuaian penggunaan buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 daripada perspektif guru. Kajian ini berpandukan Teori Greene dan Petty. Kajian ini merupakan pendekatan kualitatif menggunakan kaedah kajian kes. Sampel kajian terdiri daripada empat orang guru Bahasa Melayu sekitar daerah Petaling Perdana, Selangor. Instrumen kajian yang digunakan ialah kaedah temu bual yang dianalisis secara deskriptif. Dapatan temu bual mendapati terdapat empat tema di bawah persoalan kesesuaian penggunaan buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 daripada perspektif guru iaitu (a) isi kandungan, (b) aktiviti dan latihan, (c) persembahan, (d)bahasa dan istilah. Guru-guru menyatakan isi kandungan buku teks tersebut mempunyai kelemahan dan kekuatan yang tersendiri. Isi kandungan pula kurang sesuai dengan aras murid bukan penutur jati. Persembahan yang terdapat dalam buku teks menarik dari semua aspek terutamanya ilustrasi, grafik, jadual, warna dan sebagainya. Bahasa dan istilah yang digunakan agak sukar dengan aras murid Tahun 5 yang bukan penutur jati. Kajian ini dapat meningkatkan pemahaman terhadap sejauh mana buku teks menyokong keperluan dan tuntutan kurikulum