Radio dan orang asli: menelusuri peranan siaran asyik fm di penempatan pedalaman etnik semai di pos Titom, Lipis, Pahang
List of Authors
Misliyah Rusli , Shazlin Amir Hamzah
Keyword
Orang Asli, radio asyik FM, integrasi nasional, Malaysia, Pahang
Abstract
Etnik Orang Asli dilihat sebagai warga pribumi yang hidupnya terpinggir dan terpisah dari
kemajuan ekonomi berbanding masyarakat lain di Malaysia. Usaha membawa etnik Orang Asli
kedalam sistem bernegara mula dilaksanakan dengan tertubuhnya sebuah jabatan khusus yang
sekarang dikenali dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Dalam bidang komunikasi,
radio Siaran Orang Asli sebagai produk kolonial yang pada peringkat awalnya, radio berfungsi
sebagai agen gerak saraf keselamatan dan kemudiannya sebagai agen pembangunan. Siaran radio
Orang Asli disiarkan dalam dialek dan citrabudaya Orang Asli ke seluruh negara dengan
menggunakan pendekatan strategi penyiaran berasaskan elemen pembujukan dengan liputan
siaran yang luas. Kajian ini bertujuan meninjau peranan Radio Asyikfm dalam mempengaruhi
minda dan cara hidup masyarakat Orang Asli dan meneliti keberkesanan kandungan siaran dan
perubahan ke arah integrasi nasional. Analisis kandungan dijalankan ke atas Jadual Siaran Radio
Asyikfm bersama dengan Jadual Giliran DJ/Penyampai bagi tahun 2014. Kaji selidik turut
dikendalikan terhadap 102 responden dari etnik Semai di Pos Titom, Lipis, Pahang dan temubual
dengan informan utama. Orang Asli di penempatan pedalaman didapati sangat berminat
mendapatkan berita dari luar komuniti mereka. Radio Asyikfm yang bersiaran dalam empat
dialek Orang Asli dan bahasa Melayu menjadi pilihan utama mereka. Kajian ini mendapati
perubahan dari segi integrasi nasional berlaku tetapi tidak dalam satu garisan linear. Unsur-unsur
integrasi nasional telah disalurkan menerusi radio Asyikfm, namun begitu, proses membuat
keputusan secara pemuafakatan dan perubahan ke arah integrasi nasional dilakukan oleh
masyarakat Orang Asli berdasarkan pandang dunia (worldview) dan acuan mereka sendiri yang
sangat kental dengan ikatan budaya mereka.