Tahap Amalan Kepimpinan Lestari yang Diamalkan oleh Guru Besar di Sekolah Kurang Murid (SKM) di Daerah Segamat
List of Authors
Amutha M Krishhnan, Bithy Salwana Alias
Keyword
kepimpinan lestari, sekolah kurang murid, guru besar, penglibatan komuniti, kelestarian Pendidikan
Abstract
Kajian ini bertujuan meneliti tahap amalan kepimpinan lestari dalam kalangan guru besar di sekolah kurang murid (SKM) di daerah Segamat, Johor. Dalam konteks pendidikan masa kini, kepimpinan lestari semakin diberi perhatian kerana keupayaannya memastikan kesinambungan pengurusan sekolah, kesejahteraan warga sekolah, serta keberkesanan organisasi pendidikan dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, kajian empirikal berkaitan amalan kepimpinan lestari di sekolah kecil, khususnya di SKM luar bandar di Malaysia, masih terhad. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan bagi menjawab objektif untuk mengenal pasti tahap amalan kepimpinan lestari guru besar di SKM SJKT di daerah Segamat. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk tinjauan dengan melibatkan seramai 68 orang guru SKM SJKT sebagai responden. Instrumen soal selidik merangkumi lima dimensi kepimpinan lestari, iaitu visi dan misi, pengurusan sumber, pembangunan profesional guru, kelestarian alam sekitar sekolah, dan penglibatan komuniti. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif melibatkan min dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap keseluruhan amalan kepimpinan lestari adalah tinggi (min = 4.12, SP = 0.46), dengan dimensi penglibatan komuniti mencatatkan skor min tertinggi. Kesimpulannya, kajian ini menyumbang kepada pemahaman tentang peranan guru besar SKM sebagai pemimpin lestari serta memberi implikasi terhadap perancangan latihan kepimpinan pendidikan yang lebih berfokus kepada kelestarian dan sokongan komuniti.