Reka Bentuk dan Pembangunan Modul Seronok Belajar Matematik untuk Murid SDH di Malaysia
List of Authors
  • Siti Rahaimah Ali, Syaza Hazwani Zaini, Zuria Farhana Mohamad

Keyword
  • Modul Seronok Belajar Matematik, reka bentuk dan pembangunan, Sekolah dalam Hospital, Fuzzy Delphi

Abstract
  • Penguasaan pendekatan didik hibur merupakan keperluan penting dalam pendidikan abad ke-21. Sehubungan itu, kajian ini dilaksanakan bagi mereka bentuk dan membangunkan Modul Seronok Belajar Matematik (MSBM) berasaskan didik hibur, khusus untuk topik Nombor Bulat dan Operasi Asas Matematik, bagi kegunaan guru dan murid di Sekolah Dalam Hospital (SDH). Kajian ini bertujuan memperoleh konsensus pakar terhadap elemen-elemen modul serta menentukan turutan keutamaan (ranking) bagi setiap item dalam reka bentuk dan pembangunan MSBM. Seramai 10 orang pakar matematik sekolah rendah dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang pengajaran dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan Matematik Tahun Tiga. Instrumen kajian berupa borang soal selidik yang mengandungi 25 item, meliputi tiga elemen utama iaitu standard kandungan Nombor Bulat, standard kandungan Operasi Asas, dan aktiviti pembelajaran didik hibur. Data dianalisis menggunakan teknik penomboran segi tiga Fuzzy, manakala kedudukan setiap item ditentukan melalui proses Defuzzification. Dapatan kajian menunjukkan kesepakatan pakar terhadap kesesuaian item dalam MSBM dengan memenuhi ketiga-tiga syarat Fuzzy, iaitu nilai threshold (d) ≤ 0.2, peratus kesepakatan pakar ≥ 75%, dan nilai Defuzzification (alpha cut) ≥ 0.5. Selain itu, item teratas bagi elemen standard kandungan Nombor Bulat merangkumi penyelesaian masalah, nilai nombor, anggaran, dan pola nombor, manakala bagi elemen Operasi Asas merangkumi operasi bergabung tambah dan tolak, pendaraban dan pembahagian dalam lingkungan 10,000, serta penyelesaian masalah. Elemen pembelajaran didik hibur menunjukkan aktiviti berasaskan permainan merupakan antara item yang menjadi tumpuan para pakar dalam kajian ini dengan ranking teratas. Kesimpulannya, MSBM berpotensi meningkatkan penguasaan pembelajaran Nombor Bulat dan Operasi Asas melalui pendekatan aktiviti pembelajaran berasaskan didik hibur dalam kalangan murid di SDH.

Reference
  • No Data Recorded