Kerja sosial di hospital: meneroka pengabaian dalam kalangan pesakit warga emas
List of Authors
Khadijah Alavi , Siti Zaila Husin
Keyword
Kerja sosial di hospital, pengabaian, pesakit, warga emas, sokongan sosial
Abstract
Pengabaian warga emas adalah masalah sosial yang kian serius. Isu ini berkait rapat dengan
fenomena penuaan penduduk menjelang abad ke-21 lantaran peningkatan jangka hayat dan
populasi warga emas secara drastik. Justeru, fenomena tersebut secara tidak langsung memberi
kesan kepada masalah penjagaan sekaligus menimbulkan pengabaian dan penderaan terutamanya
kepada ibu bapa tua yang mengalami masalah kesihatan, ketidakupayaan fizikal dan mental.
Masalah pengabaian dalam kalangan pesakit warga emas juga memberikan cabaran kepada
pekerja sosial di hospital kerana perubahan gaya hidup dan corak struktur keluarga di zaman
moden sekarang serta kekurangan terhadap sistem sokongan untuk penjaga warga emas telah
memberikan implikasi kepada peranan pekerja sosial di hospital. Senario pengabaian pesakit
warga emas merumuskan bahawa perlunya peranan intervensi awal daripada pekerja sosial di
hospital dalam mencegah peningkatan masalah pengabaian di masa akan datang. Perbincangan
senario ini juga turut berasaskan kepada analisis kandungan artikel-artikel jurnal dan buku-buku
ilmiah yang berkaitan dengan isu pengabaian dan keperluan perkhidmatan kerja sosial di dalam
bidang kesihatan daripada kajian lepas.