Hubungan Kepimpinan Beretika Guru Besar dan Pengurusan Konflik antara Guru Besar dengan Guru SJKC Zon Bangsar Pudu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
List of Authors
Bity Salwana Alias, Keng Zhin May
Keyword
Kepimpinan beretika, pengurusan konflik, hubungan
Abstract
Amalan kepimpinan beretika guru besar kian menjadi fokus bagi mencorakkan budaya kerja positif dan meningkatkan keberkesanan pengurusan sekolah. Dasar pendidikan kini mengutamakan integriti dan ketelusan, namun konflik masih berterusan terutama di sekolah bandar. Kajian lepas menunjukkan konflik sekolah masih menjadi cabaran besar, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai kepelbagaian kaum, sosioekonomi dan komuniti. Justeru objektif kajian ini ialah mengenal pasti hubungan antara tahap amalan kepimpinan beretika dan tahap amalan pengurusan konflik guru besar di SJKC Zon Bangsar Pudu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kajian yang mengguna pakai reka bentuk korelasi ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan soal selidik sebagai instrumen kajian. Sampel yang dipilih adalah berjumlah 30 guru. Data dikutip secara dalam talian dan dianalisis secara inferensi menggunakan korelasi Pearson yang menunjukkan terdapat hubungan positif signifikan pada tahap tinggi antara kepimpinan beretika guru besar dan pengurusan konflik antara guru besar dengan guru SJKC Zon Bangsar Pudu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Implikasi kajian diharapkan dapat membantu pihak pembuat dasar merangka dan melaksanakan program untuk meningkatkan kepimpinan beretika guru besar yang dapat meningkatkan pengurusan konflik yang berkesan. Kesimpulannya, kepimpinan beretika memainkan peranan yang penting dalam membantu guru besar menangani konflik semasa pengurusan sekolah.