Keberkesanan Penggunaan Kuiz Interaktif dalam Talian terhadap Pencapaian Matematik Murid: Satu Tinjauan Literatur Bersistematik
List of Authors
Lorraimmie Megong, Siti Mistima Maat
Keyword
Kuiz interaktif, teknologi pendidikan, Matematik, pencapaian, murid
Abstract
Teknologi pendidikan telah menjadi medium penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya selepas pandemik COVID-19 yang mempercepatkan penggunaan kaedah digital dalam bilik darjah. Dalam konteks subjek Matematik, penggunaan kuiz interaktif seperti Quizizz, Kahoot!, dan Wordwall dipercayai dapat meningkatkan penglibatan serta pemahaman murid terhadap konsep asas Matematik. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk meninjau keberkesanan penggunaan kuiz interaktif dalam talian terhadap pencapaian Matematik murid. Kajian ini menggunakan pendekatan Tinjauan Literatur Bersistematik (Systematic Literature Review) dengan menganalisis artikel-artikel terpilih dari dua pangkalan data utama iaitu Web Of Science (WoS) dan SCOPUS untuk mencari artikel dari tahun 2021 hingga 2024. Sebanyak 18 artikel jurnal dipilih melalui empat fasa berpandukan kaedah Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta Analyses (PRISMA). Artikel yang memenuhi kriteria saringan telah dianalisis berdasarkan negara, pendekatan metodologi dan reka bentuk penyelidikan. Hasil dapatan menunjukkan bahawa negara Amerika Syarikat paling aktif menjalankan kajian dalam bidang ini, manakala pendekatan kajian gabungan merupakan pendekatan paling banyak digunakan. Kajian turut mengenal pasti lapan jenis jurang utama yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan kuiz interaktif, antaranya ialah pengetahuan dan kesediaan murid, pengetahuan dan kesediaan guru, pengaplikasian konsep Matematik, serta isu capaian dan kestabilan internet. Kajian ini mencadangkan agar latihan profesional guru Matematik dan penyediaan infrastruktur digital diperkukuhkan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan kuiz interaktif sebagai alat bantu mengajar Matematik yang efektif dan menyeronokkan.