Kesediaan Komuniti dalam Ekopelancongan di Hulu Terengganu
List of Authors
  • Hazman Samsudin

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Ekopelancongan merupakan salah satu cabang sektor pelancongan yang penting di Malaysia pada masa kini. Aktiviti ekopelancongan merupakan satu aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada pendapatan negara dan meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat. Penglibatan komuniti setempat khususnya golongan belia luar bandar dalam aktiviti ekopelancongan menawarkan peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong alam semulajadi (nature guide), terlibat dalam aktiviti perniagaan, mendapat faedah daripada aktiviti dan produk ekopelancongan dan berpeluang meluaskan rangkaian sosial. Namun, kesediaan komuniti setempat dalam aktiviti ekopelancongan ini menjadi isu utama bagi usaha pembangunan pelancongan yang berjaya. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk melihat kesediaan komuniti belia luar bandar dalam aktiviti ekopelancongan di Hulu Terengganu. Kajian ini dijalankan semasa pelaksanaan Program Penghayatan Alam: Apresiasi Flora dan Fauna pada 25 hingga 27 Julai 2017 bertempat di Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu. Data dikumpulkan melalui borang soal selidik. Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 50 orang yang berasal dari kampung-kampung di sekitar Hulu Terengganu. Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden tidak pernah menghadiri program atau latihan sebagai pemandu pelancong. Tujuh faktor utama responden menghadiri program penghayatan alam ini ialah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, menimba pengalaman, mengisi masa terluang, faktor minat untuk menceburi bidang pemandu pelancong, meningkatkan kesedaran, bersesuaian dengan bidang dan faktor peranan keluarga. Walaupun majoriti daripada responden tidak terlibat dalam aktiviti ekopelancongan, namun selepas mengikuti program ini, majoriti responden berminat untuk menjadi pemandu pelancong dan bersedia untuk menghadiri Kursus Pemandu Pelancong Alam Semulajadi (nature guide) di masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti belia yang menghadiri program ini bersedia untuk terlibat dalam aktiviti ekopelancongan di tempat mereka.


Reference
  • No Data Recorded