Kajian ini bertujuan untuk meninjau amalan kepimpinan transformasional dan hubungannya dengan motivasi guru sekolah jenis kebangsaan cina di daerah Klang. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk tinjauan. Data kajian ini diperolehi melalui kaedah borang soal selidik. Borang soal selidik telah diedarkan kepada guru-guru di seramai 21 buah sekolah jenis kebangsaan cina di daerah Klang. Persampelan rawak mudah digunakan dalam kajian ini. Data-data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif (skor min dan sisihan piawai) dan statistik inferensi (korelasi). Dapatan kajian menunjukkan amalan kepimpinan transformasional yang diamalkan oleh guru besar mempunyai nilai min 4.56 (SP=0.19), iaitu berada pada tahap min yang tinggi. Min bagi tahap motivasi guru ialah 4.54 (SP=0.17), iaitu berada pada tahap min yang tinggi juga. Hasil analisis ujian korelasi Pearson digunakan untuk menentukan hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasional dengan motivasi guru di sekolah jenis kebangsaan cina daerah Klang. Hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasional dan motivasi guru (r=0.815, p<.001). Kesimpulannya, amalan kepimpinan transformasional banyak diamalkan oleh guru besar sekolah jenis kebangsaan cina daerah Klang. Implikasinya, amalan kepimpinan transformasional guru besar mampu meningkatkan motivasi guru supaya dapat meningkatkan kualiti kerja guru di sekolah.