Suku Bugis dikenali sebagai pelaut dan pedagang ulung. Penjajahan Belanda di Sulawesi telah menyebabkan penghijrahan keluar suku Bugis ke negara serantau, selain ingin meningkatkan kualiti hidup. Mereka membawa bersama adat dan budaya ke tempat baharu. Antara aktiviti ekonomi utama masyarakat Bugis di perantauan adalah menjalankan aktiviti perikanan. Sebagai imigran, mereka berupaya mengadaptasi adat dan budaya tinggi masyarakat Bugis dengan budaya masyarakat tempatan di lokasi yang baharu. Selain itu, mereka berjaya mengasimilasikan adat dan budaya tersebut dengan agama yang dianuti dengan agama masyarakat tempatan. Proses asimilasi dan faktor masa telah mengubah sedikit sebanyak adat dan budaya asal yang diamalkan oleh masyarakat Bugis. Malahan, adat dan budaya tersebut semakin kurang diamalkan oleh masyarakat Bugis kini, terutamanya dalam menjalankan aktiviti perikanan. Oleh itu, kajian ini ingin mengkaji tahap pengetahuan masyarakat Bugis terhadap adat dan budaya yang diamalkan dalam menjalankan aktiviti ekonomi perikanan. Kaedah kajian kualitatif dijalankan ke atas 10 orang informan di daerah Pontian, Johor. Hasil kajian mendapati upacara ritual yang diamalkan oleh masyarakat Bugis diasimilasikan dengan amalan berteraskan Islam. Namun begitu, sebahagian besar informan kurang mengetahui tentang adat yang diamalkan dalam menjalankan aktiviti perikanan. Hal ini menunjukkan adat dan budaya asal masyarakat Bugis semakin terhakis kesan peredaran semasa dan perkembangan syariat Islam. Oleh itu, adat dan budaya masyarakat Bugis perlu diterapkan kepada golongan muda agar terpelihara, selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam bagi yang menganuti agama Islam.