Untuk menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis, sistematik dan logik, pengajaran menerusi pendekatan pengajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) didapati sangat sesuai. Isu pencapaian murid yang rendah dalam pentaksiran antarabangsa PISA (Pro-gramme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) menjadi faktor tercetusnya idea pendekatan pengajaran STEM ini. Selain itu, faktor kurangnya minat dalam proses pengajaran dan pengajaran (PdP) menerusi kaedah konvensional juga turut menjadi faktor tahap pencapaian murid yang rendah dalam subjek Matematik dan Sains. Penulisan ini adalah bertujuan untuk menganalisis dan meneroka pendekatan guru dalam mengajar subjek STEM yang kerap digunakan berdasarkan kajian-kajian terdahulu. Selain itu, penulisan ini turut bertujuan untuk membangunkan kerangka konseptual beradasarkan analisis -analisis yang dijalankan. Dalam kajian ini, pencarian literatur untuk kajian berkaitan dilakukan melalui pangkalan data atas talian, Pusat Informasi Sumber subjek (Education Resources Information Center - ERIC) dari tahun 2018 hingga 2022 menggunakan kata kunci seperti STEM, subjek Matematik dan pengukuran. Jurnal atau artikel yang memenuhi kriteria yang diperlukan dipilih untuk kajian dengan penemuan dari penyedia perkhidmatan berasaskan web, termasuk Sage Journals, Springer, Google Scholar, Science Direct, Academia dan Research Gate. Teknik analisis dokumen digunakan untuk menjawab persoalan-persoalan kajian. Prosedur sorotan literatur bersistematik adalah merangkumi strategi pencarian, kriteria pemilihan, proses pemilihan, pengumpulan data dan analisis data bagi artikel yang diperolehi. Antara kriteria yang ditetapkan dalam pemilihan artikel adalah seperti tahun penerbitan dan bidang kajian. Sorotan literatur sistematik ini menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran STEM dapat dinilai dengan menggunakan kaedah kuantitatif atau kualitatif bergantung kepada skop dan dimensi penyelidikan. Sorotan literatur sistematik ini menunjukkan bahawa kajian berkaitan pendekatan pengajaran STEM dilaksanakan menggunakan kaedah kuantitatif atau kualitatif bergantung kepada skop dan dimensi penyelidikan.