Amalan Pengajaran Guru Dalam Melaksanakan Pendekatan Projek Di Tadika Swasta
List of Authors
  • Nurul Afira Indera Luthfi, Suziyani Mohamed

Keyword
  • Pendekatan Projek; Guru Prasekolah; Tadika Swasta; Amalan Pengajaran

Abstract
  • Pendekatan projek dalam pendidikan awal kanak-kanak semakin mendapat perhatian kerana mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang berpusatkan murid, kreatif dan bermakna. Namun begitu, keberkesanan pendekatan ini sangat bergantung pada amalan pengajaran guru yang menjadi pelaksana utama di bilik darjah. Kajian ini bertujuan mengenal pasti amalan pengajaran guru dalam pelaksanaan pendekatan projek di tadika swasta dengan menumpukan kepada tiga dimensi utama iaitu kualiti pengajaran, pengurusan masa dan pengurusan pembelajaran terbeza. Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan kuantitatif dengan instrumen soal selidik melibatkan 104 orang guru tadika swasta di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Data dianalisis secara deskriptif bagi menilai tahap amalan guru dalam pelaksanaan pendekatan projek. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhan, amalan pengajaran guru berada pada tahap sederhana (min = 3.3986; SP = 0.55531). Antara tiga dimensi yang dikaji, kualiti pengajaran mencatatkan skor min tertinggi (3.50; SP = 0.53118) pada tahap tinggi, menandakan keupayaan guru menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan aktif. Walau bagaimanapun, dimensi pengurusan masa (min = 3.4306; SP = 0.62829) dan pengurusan pembelajaran terbeza (min = 3.2768; SP = 0.67166) hanya berada pada tahap sederhana, menggambarkan cabaran yang dihadapi guru dalam menyusun masa pengajaran secara optimum serta menyesuaikan strategi pengajaran mengikut perbezaan individu kanak-kanak. Kesimpulannya, kajian ini menegaskan bahawa meskipun guru mempunyai kekuatan dari aspek kualiti pengajaran, masih terdapat keperluan untuk intervensi dan latihan tambahan khususnya dalam pengurusan masa dan pembelajaran terbeza. Implikasi kajian ini mencadangkan agar pihak tadika, pentadbir dan pembuat dasar menyediakan sokongan, garis panduan serta latihan profesional yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan keupayaan guru melaksanakan pendekatan projek dengan lebih holistik dan berkesan.

Reference
  • No Data Recorded