Taktik Manipulasi Psikologi dalam Penipuan ‘Scam’: Desakan, Tekanan, Beban Kognitif, Bias Kognitif dan Pematuhan Emosi
List of Authors
Mastura Ab Wahab
Keyword
Penipuan; Desakan; Tekanan Dan Beban Kognitif; Bias Kognitif; Pematuhan Emosi
Abstract
Penipuan ‘scam’ merupakan satu ancaman global yang semakin meningkat menyebabkan kerugian kewangan bertrilion setiap tahun dengan taktik manipulasi psikologi menggunakan desakan bersegera, tekanan dan beban kognitif berlebihan, bias kognitif, dan kelemahan emosi yang menjurus mangsa kepada pematuhan emosi. Kajian literatur kualitatif mendapati taktik manipulasi psikologi seperti desakan bersegera, dan tekanan dan beban kognitif boleh menjejaskan analisis rasional manusia, manakala bias kognitif termasuklah bias autoriti dan bias kekurangan memesongkan pertimbangan, dan pengunaan pematuhan emosi dengan menghasilkan rasa takut, tamak atau empati bertindak memintas pemikiran rasional mangsa. Kajian itu juga menerangkan bagaimana taktik penipu ‘scam’ memanipulasi psikologi mangsa mengakibatkan emosi mangsa tertekan dan mengaktifkan jalan pintas kognitif yang menghalang mangsa daripada berfikir secara rasional apabila bertindak atau membuat keputusan. Kajian ini juga mengenegahkan ciri-ciri demografi golongan yang berisiko kepada penipuan ‘scam’ seperti orang yang lebih tua dan mereka yang mempunyai kawalan diri yang rendah. Mangsa biasanya mengalami tekanan psikologi yang teruk, termasuk kemurungan, rasa malu dan hilang kepercayaan. Implikasi daripada kajian ini termasuklah cadangan rangka kerja bersepadu menggabungkan faktor kognitif, sosial, emosi dan situasi untuk meramalkan berlakunya penipuan ‘scam’ dan mencadangkan intervensi sesuai seperti latihan literasi digital, pendidikan pemikiran kritis dan analitik ramalan berasaskan pembelajaran mesin. Analisis ini memfokuskan pencegahan penipuan akibat taktik manipulasi psikologi dan menyiapkan golongan berisiko untuk mengambil langkah dan tindak balas yang sesuai dan berdaya tahan terhadap pelbagai penipuan termasuk penipuan yang menggunakan teknologi canggih seperti pengunaan aplikasi kecerdasan buatan.