Kahwin Lewat Dan Kesukaran Mencari Calon Pasangan yang Sesuai: Dapatan Awal
List of Authors
Nadiah Rus Liyana Rusli, Nur Shafiekah Sapan, Nurul Ain Zulhaimi, Siti Aishah Ramli, Siti Halimah Putung, Siti Nurul Aishah Abdul Hamid
Keyword
Kahwin Lewat; Bujang Lewat Usia; Mencari Pasangan; Pasangan Sesuai
Abstract
Artikel ini melaporkan dapatan awal mengenai faktor perkahwinan lewat dan kesukaran menemukan calon pasangan yang berpotensi dalam kalangan individu bujang. Memandangkan tren perkahwinan lewat hari ini semakin ketara seiring dengan permodenan dunia dan pembangunan negara. Di Malaysia, umur lelaki dan wanita yang berkahwin buat kali pertama semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ketiadaan dan kesukaran menemukan calon pasangan yang sesuai merupakan faktor utama menyumbang kepada perkahwinan lewat terutamanya wanita. Kajian kualitatif menggunakan temu bual separa berstruktur terhadap lelaki dan wanita bujang yang beragama Islam dan berusia 30 tahun ke atas di W.P. Labuan dijalankan. Dapatan awal mengenal pasti tiga tema utama yang mempengaruhi keputusan peserta melewatkan perkahwinan, iaitu keutamaan terhadap kerjaya, ketiadaan faktor penolak emosi dan keluarga serta kesukaran memperoleh calon pasangan yang berpotensi. Faktor yang menyumbang kepada kesukaran tersebut termasuklah standard yang tinggi dalam pemilihan calon, ketidaksepadanan kerjaya dan agama, keterbatasan interaksi dan jaringan sosial, penampilan fizikal dan usia serta persepsi dan jangkaan sosial, Secara keseluruhan, dapatan ini menggambarkan bahawa fenomena kahwin lewat dalam kalangan peserta merupakan hasil interaksi antara keutamaan hidup, peluang sosial yang terhad dan jangkaan kesepadanan dalam memilih pasangan. Walaupun peserta tidak berasa tertekan untuk berkahwin, batasan dari segi jaringan sosial dan penilaian sosial terhadap calon pasangan yang dianggap sesuai menyebabkan proses mencari jodoh menjadi lebih mencabar. Kajian ini menegaskan keperluan memahami keputusan melewatkan perkahwinan sebagai satu proses yang kompleks, dipengaruhi oleh norma sosial, struktur peluang, serta pertimbangan individu terhadap keserasian pasangan.