Lambakan graduan menganggur pada masa kini amat membimbangkan berikutan pelbagai faktor yang mempengaruhi permasalahan ini. Oleh yang demikian, satu kajian telah dijalankan berkenaan kepentingan kemahiran insaniah terhadap kebolehpasaran graduan di Universiti Sains Islam Malaysia. Pengkaji telah memilih untuk menjalankan kajian secara kualitatif. Seramai 15 orang alumni USIM telah dipilih dan dilibatkan di dalam perbincangan kumpulan dengan memberi tumpuan terhadap perspektif informan kajian ke atas kaedah untuk meningkatkan tahap Kemahiran Insaniah graduan USIM, mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menuju ke arah kebolehpasaran graduan dan cara bagaimanakah Model GIINA membantu dalam kebolehpasaran graduan. Hasil dapatan kajian mendapati melalui pelaksanaan program kepimpinan, kesukarelawanan, kesukarelawanan, pengucapan awam yang mengandungi elemen Kemahiran Insaniah, ia dapat memberi impak kepada alumni khususnya dalam meningkatkan kompetensi diri dan membantu kebolehpasaran mereka. Implikasi dari kajian ini pula telah menunjukkan bahawa Kemahiran Insaniah merupakan kemahiran yang bersesuaian untuk dikuasai oleh graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang lebih mencabar. Dengan menguasai Kemahiran Insaniah, graduan mempunyai nilai tambah dalam diri serta dapat memasarkan diri mereka kepada majikan berbanding dengan calon yang tidak menguasai Kemahiran Insaniah