Golongan belia berprestasi rendah akademik seringkali dianggap tidak mampu berdikari dan gagal dalam kehidupan. Persepsi ini ternyata tidak tepat kerana telah ramai dari golongan belia tersebut yang berjaya meningkatkan kualiti hidup melalui pelbagai program latihan kemahiran yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Dalam era revolusi industri 4.0 (IR4.0), program latihan berasaskan teknologi dilihat sebagai satu inisiatif yang mampu melahirkan generasi belia yang lebih beryakinan dan serba boleh. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti keberhasilan dan kekangan dalam pelaksanaan program latihan kemahiran kepada golongan belia khususnya program latihan berasaskan teknologi. Berdasarkan kajian terdahulu, program-program latihan yang dijalankan telah memberi impak yang positif kepada golongan belia. Namun yang demikian, terdapat juga beberapa kekangan dalam memastikan keberkesanan program-program seperti ini. Dengan adanya kajian ini, proses penambahbaikan dapat dilaksanakan oleh badan pelaksana program latihan bagi memaksimakan potensi dan kebolehpasaran kerja golongan belia tersebut selepas mengikuti program latihan yang telah diadakan.