Penyempurnaan kuasa dua merupakan satu kaedah pemfaktoran yang penting dalam proses penyelesaian persamaan kuadratik. Kaedah ini dapat membantu pelajar memahami penyelesaian masalah berkaitan persamaan kuadratik dengan menggunakan kaedah pemfaktoran. Justeru, para guru memainkan peranan bagi memastikan pelajar dapat menguasai sepenuhnya teknik penyempurnaan kuasa dua dengan menggunakan bahan dan kaedah yang bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Kertas ini akan mengupas tinjauan literatur berkaitan masalah yang dihadapi oleh pelajar semasa menggunakan teknik penyempurnaan kuasa dua. Selain itu, kertas ini juga turut mengenal pasti apakah persepsi pelajar terhadap pembelajaran teknik penyempurnaan kuasa dua. Justeru pengkaji telah merumuskan bahawa terdapat 2 perkara yang tidak diberi perhatian iaitu; (1) Apakah jenis miskonsepsi yang dialami oleh pelajar semasa menggunakan teknik penyempurnaan kuasa dua? (2) Apakah bahan yang boleh digunakan oleh guru semasa menerangkan konsep abstrak penyempurnaan kuasa dua? Miskonsepsi yang dialami oleh pelajar dalam penyempurnaan kuasa dua menyebabkan pelajar tidak dapat menukar persamaan kuadratik kepada bentuk am penyempurnaan kuasa dua serta tidak dapat membuat keputusan dalam menggunakan kaedah yang betul dalam menyelesaikan persamaan kuadratik.